Selain menyediakan keperluan asrama bagi anak-anak yatim dan mereka menyediakan ang memerlukan perlindungan di sini, Baitul Kasih juga menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan berikut:

  • memberi pelajaran dan pendidikan secukupnya untuk anak-anak bagi mempersiapkan masa depan agar beroleh kejayaan di dunia dan keselamatan di akhirat.
  • menyalurkan segala sumbangan yang diterima bukan sekadar untuk anak-anak yang menghuni di rumah amal ini sahaja tetapi turut juga diberikan kepada anak-anak yatim dan golongan asnaf yang lain yang tinggal bersama keluarga mereka.
  • membuka kelas pengajian Al-Quran dan fardhu ain untuk anak-anak masyarakat sekitar.


Pusat Jagaan & Asuhan 

Anak-anak yang menghuni di rumah amal ini dilatih hidup berdikari dan mempraktikkan adab sopan yang mulia sebagai pakaian diri. Kebersihan asrama dan kekemasannya dilakukan secara bersama, berkumpulan dan bergilir-gilir. 

Pengajian & Pendidikan Agama 

Selain penekanan kepada asas-asas fardhu ain sebagai pedoman hidup, pendidikan insan atau rohaniah merupakan pendidikan utama yang sangat ditekankan kepada anak-anak yang menghuni di sini. Setiap masa mereka dididik supaya mengenali Tuhan hingga timbul rasa cinta, sayang dan takut kepadaNya agar mereka memiliki jiwa besar dan kuat untuk mengharungi hidup ini. Mereka didisiplinkan dengan sembahyang jemaah setiap waktu, mengaji Quran, tahlil dan bertahjjud (qiyamullail) setiap hari. 

Pembelajaran 

Anak-anak yang menghuni asrama ini juga sentiasa mendapat bimbingan untuk memahami pelajaran yang dipelajari di sekolah. Mereka dibantu dalam menyelesaikan kerja-kerja sekolah oleh guru berpengalaman yang secara sukarela untuk membantu mereka terutama di hujung minggu dan waktu cuti persekolahan. 

Aktiviti & Kemahiran 

Selain aktiviti pengajian dan pembelajaran, anak-anak juga didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan kemahiran yang sesuai dengan peringkat umur mereka supaya mereka tahu hidup berdikari setelah mereka keluar dari rumah amal ini seperti:

  • Aktiviti Kebudayaan
  • Aktiviti Riadhah
  • Aktiviti Ekonomi (berniaga kecil-kecilan)
  • Aktiviti Khidmat Masyarakat. 

Khidmat Perlindungan Bagi Wanita Bermasalah 

Zina adalah dosa besar yang amat perlu dihindari oleh manusia. Ini kerana ia bukan sahaja merosakkan nasab atau keturunan manusia tetapi juga mendatangkan pelbagai masalah sosial. Yang terbaru ialah perbuatan membuang bayi.

Tekanan yang terlalu kuat kepada wanita terlibat boleh membawa kepada pembuangan bayi kerana mereka tidak tahu ke mana lagi hendak mengadu. Masyarakat pula lebih ramai yang mencemuh daripada yang membantu. 

Agar golongan ini tidak terkapai-kapai. Asrama PK Baitul Kasih menyediakan pusat pengaduan atau pusat penjagaan untuk mereka. Wanita yang terlibat dalam perzinaan ada di antaranya akibat termakan dengan pujuk rayu dan janji manis teman lelaki. Namun apabila mereka mengandung, selalunya lelaki terlibat tidak mahu bertanggungjawab. 

Dengan khidmat pihak kami sediakan ini, kebaikannya bukan sahaja kepada wanita terlibat tetapi juga kepada anak yang dikandung mereka. Ini bukan bermakna pihak kami menggalakkan perbuatan haram ini. Sekali jatuh tidak bermakna hidup kita sudah berakhir. Golongan ini perlu diberi didikan agama dan sesi kaunseling agar kekosongan dalam jiwa mereka diisi. Anak mereka pula boleh dijadikan anak angkat oleh mereka yang layak selepas melalui proses temuduga dan pemilihan tertentu. 

Khidmat Kaunseling

Kami menyediakan khidmat kaunseling untuk membantu menyelesaikan pelbagai masalah kehidupan yang melibatkan kanak-kanak, para pelajar, remaja, orang dewasa, rumahtangga dan lain-lain masalah yang melanda individu, keluarga dan masyarakat luas.